Tuesday, May 25, 2010

Sedutan novel Pelayaran Daik

Mencari Puteri Epal

Pulau Epal terletak kira-kira 2 hari pelayaran pada angin biasa.Itu kata penjaga Pokok Emas Baiduri.Daik tidak pernah bertemu dengan buah epal.Ashkefaizi mengatakan buah itu amat lazat.

"Ini adalah buah yang hebat!" getus Ashkefaizi.

"Di tempat aku dilahirkan di Kerak,buah ini adalah hidangan makan malam yang syahdu!"

"Rasanya seperti buah Maja?" tanya Daik.

"Rasanya seperti mengucup seribu bidadari," Ashkefaizi ketawa mengekek.

Mata Daik terpancar seribu keghairahan.Dia mesti mencari buah epal dan puteri Epal.Puteri Epal akan memberitahu petunjuk seterusnya.Daik merenung Sutramawarni.Daik bersimpuh di sisi gadis itu.Dia mengusap-ngusap bibir indah Sutramawarni yang telah keras membatu.Mata Daik semakin redup.Sayu.

"Sabarlah sayang...Daik akan bawa penawarnya untuk Warni.Daik janji...," Daik merenung bibir batu Sutramawarni.

Daik bangun dengan penuh semangat.Aku mesti cari kau Puteri Epal!,bisik hatinya.Tiba-tiba angin barat mula membelai pipi Daik.Menggoda-goda penuh ilusi.

"Turunkan layar!" Daik melaung kepada anak kapalnya.

Penjaga Pokok Emas Baiduri juga memberitahu Daik tentang waktu.Ya,waktu yang tepat untuk bertemu dengan Puteri Epal.Waktu adalah sepenting wajah jelita Puteri Epal.Waktu adalah semanis Epal Biru kegemaran puteri itu.Jika waktu tidak ditepati,pahitnya adalah seratus kali lebih pahit dari jering merah yang bertangkai di atas pokok.Sekejam wajah Puteri Epal yang tersenyum mengejek jika habis waktu yang diberi.Daik teringat cerita penjaga Pokok Emas Baiduri tentang kisah Seorang Petapa dan 1000 Tahun Pintu Puteri Epal.

Betapa bertahun-tahun sang petapa menunggu saat pintu Puteri Epal.Betapa khusyuknya sang petapa menunggu di hadapan pintu Puteri Epal menanti ia terbuka,yang hanya terjadi setiap seribu tahun.Setelah sekian lama menunggu di hadapan pintu,dia merasakan bahawa dia pasti menemui Puteri Epal;idaman setiap pengembara dan petapa sepi.Puteri Epal akan mengajak setiap pengunjung bertuahnya berbual-bual dalam suasana mesra penuh mengasyikkan.Sambil minum air sarbat hijau yang manis lazat,Puteri Epal akan bergurau-gurau senda dengan tetamunya.Kemudian saat yang ditunggu-tunggu,Puteri Epal akan memberikan hidangan buah epal yang tiada taranya di dalam dunia.Buah epal hijau,merah,kuning dan ungu,dihidangkan bersama-sama haruman madu yang menggoda.Nikmatnya mencecah hirisan epal pada madu dan mencicipnya perlahan-lahan di bibir.

Kemudian Puteri Epal akan memegang tangan pengunjung bertuahnya,dan bertanya hajat pengunjung.Jika mahukan kekayaan,Puteri Epal akan berikan berkoyan-koyan emas dan perak,permata dan segala berlian.Jika mahukan penawar,Puteri Epal akan berikan penawar segala penyakit.Biar bersopak kulit,biar berpanau seluruh tubuh,nanti Puteri Epal sapukan penawar...kulit akan licin dan bersih bak sutera terpilih.Si petapa makin bersemangat menunggu pintu terbuka yang waktunya sudah

menghampiri.Amat hampir.Mata petapa makin bersinar-sinar walaupun sedang berjuang menentang berjuta keletihan menunggu selama seribu tahun.

Tiba-tiba perasaan mengantuk menyerang dirinya.Mata sang petapa tertutup dan terbuka dengan penuh kepayahan,di saat-saat waktu pintu Puteri Epal mahu terbuka.Setelah berusaha menahan mata selama seribu tahun,baru saat itu dia terkantuk-kantuk.Dan segera sahaja matanya tertutup sebentar.Dan pada waktu yang amat sebentar itu sahaja,pintu pun terbuka.Sebelum mata sang petapa terbuka sepenuhnya kembali,pintu itu tertutup perlahan-lahan dengan wajah Puteri Epal tersenyum mengejek.Kemudian,sebelum sempat kesedaran sang petapa tiba sepenuhnya,pintu itu tertutup rapat bersama bunyi yang dasyat,berserta suara sang petapa yang menggelegak hebat yang cukup untuk membangunkan orang mati.

"Ingat Daik!Bersiap sedialah kerana pintu akan terbuka setiap seribu tahun," Penjaga Pokok Emas Baiduri berpesan.

"Tanamkan sifat menyesalmu sepanjang masa adalah lebih baik berbanding engkau menyesal dengan sendirinya sesudah pintu tertutup.Jaga-jaga dengan tiga biji epal dan badut-badut yang menari.Jika engkau melihat dua peristiwa itu,beritahu dirimu bahawa saatnya sudah semakin hampir"

Daik termenung memandang patung batu Sutramawarni.Wajah sepi Sutramawarni begitu menyucuk-nyucuk perasaan Daik.

"Abang Daik...dalam hidup ini siapa agak-agaknya manusia yang paling abang Daik sayang?"

"Warni lah paling abang sayang"

"Yang paling abang benci?"

"Orang yang nak memisahkan kita berdua"

"Abang Daik nak tahu tak manusia yang paling Warni benci?"

"Apa dia?"

"Diri Warni sendiri"

"Eh,kenapa pula?"

"Sebab berkali-kali Warni cuba membenci abang,tapi semakin benci semakin sayang"

Daik tersenyum.Wajah Warni ketawa sambil berlari menghindari tangannya yang cuba mencekak lengan gadis manis itu masih terbayang-bayang di fikiran Daik.Manisnya engkau Warni bila ketawa,detik hati Daik.

Airmata Daik tumpah.Daik jarang menangis.Lelaki keras sepertinya bagaikan batu-batu yang dihempas ombak siang dan malam.Daik tidak menangis walaupun ibu bapanya dibunuh di hadapannya oleh tentera Ardiputra yang zalim.Daik tidak menangis walaupun adik kandungnya lemas terjatuh ke dalam lautan ganas.Namun Daik tewas kali ini.Daik tidak mampu menahan perasaan sedihnya pabila melihat wajah kaku Sutramawarni.Mungkin Daik sudah habis upaya kesabaran menahan dugaan dalam hidupnya.Tubuh Sutramawarni yang telah menjadi batu benar-benar membuatkan Daik terpukul.

Kabus mula menyelubungi kawasan laut.

"Petanda menghampiri Pulau Epal adalah kabus tebal yang tergantung di atas air laut!" kata-kata penjaga Pokok Emas Baiduri menari-nari di cuping telinga Daik.

Daik melihat kabus semakin banyak.Anak-anak kapalnya semakin tidak tenteram.

"Daik,nampaknya kabus semakin tebal,kita tidak tahu apakah bahaya di hadapan!" Jalak mengingatkan Daik dengan penuh resah.

Daik tersenyum ke arah Jalak.

"Jadi ini masanya untuk berehat," Daik mengerling penuh makna ke arah Jalak.Jalak tersentak kebingungan.

"Apa maksudmu?"

"Kabus ini adalah penyambut tamu Puteri Epal," Daik ketawa kecil seakan memerli."Jangan risau,jika ada kabus ini pada waktu ini,maknanya masa untuk kita berehat,dia semakin hampir...tidurlah untuk menunggu hari esok," Daik tersenyum.

"Aku tidak faham,adakah engkau cuba untuk berkias?"

Daik merenung tajam pada Jalak.

"Kau ingat lagi kata-kata Ashkefaizi,pedagang Arab itu?Buah epal hanya tumbuh di kawasan dingin.Adakah engkau tidak merasa dingin sekarang?" Daik berlalu meninggalkan Jalak bersama senyuman aneh yang menggusarkan.

"Beritahu mereka,berehatlah dan tidur dengan nyenyak...bukankah waktu dingin sebegini adalah nyaman untuk tidur?" Daik berkata sambil membelakangi Jalak.Jalak pun bergegas ke arah anak-anak kapal.Terdengar dari kejauhan suara Jalak menyuruh mereka berehat.Daik mencapai kain tebal dan menyelimuti dirinya.Benar,keadaan sekeliling semakin dingin kini.Daik terketar-ketar sambil berjalan ke arah haluan kapal.Dia memanjang jauh ke hadapan.Ke hadapan seakan-akan memecah kabus malam yang dingin.

Daik mula diserang perasaan kantuk.Dia memandang ke hadapan sambil tangannya memegang kemudi.Tiba-tiba dia merasakan ada sesuatu di belakangnya.Namun perasaan kantuk itu telah membataskan kesedarannya untuk bertindakbalas dengan keadaan yang begitu mencurigakan itu.Daik terdiam kaku di depan kemudi,berusaha menahan kantuk.Tiba-tiba dia terasa ada seseorang memeluknya dari belakang.

"Bangun abang Daik,jangan tidur...keluarkan adik dari penjara gelap ini..."

Daik semakin lemas.Ada kepala wanita diletakkan di atas bahunya.Terasa begitu halus dan bau aroma rambut wanita aneh itu begitu melemaskannya.

"Warni sayang abang Daik..."

Daik tersentak.Dia cepat-cepat berpusing kilas ke belakang.Daik mencari-cari Sutramawarni.Tiada siapa di sekeliling dia.Kebanyakan anak kapalnya tidur dan berehat-rehat.Daik segera turun ke buritan.Mencari patung Sutramawarni.

Daik gelisah.Sutramawarni tiada di situ.Daik semakin tidak keruan.Dia berjalan ke hulu ke hilir."Biduk," bisik Daik.

"Biduk!"

"Biduk!"

Seorang lelaki gempal berjalan dengan tergesa-gesa ke arah Daik.Wajahnya kelihatan menyembunyikan keresahan.

"Ya,ada apa Daik?"

Daik merenung muka Biduk tanpa berkelip.Dadanya bernafas kencang.

"Patung Warni di mana?Bukankah aku suruh kau menjaganya?"

"Ya...ya...Daik,tapi aku letakkan ia di sana," Biduk menunjuk ke arah satu sudut.Kelihatan satu gulungan tikar mengkuang yang nampaknya membungkus sesuatu di dalamnya.

"Kenapa kau balut patung itu?" Daik ingin mendapatkan kepastian,amat aneh apabila Biduk membalut patung Sutramawarni tanpa pengetahuan dirinya.

"Aku takut," suara Biduk bergetar sedikit.

"Apa yang kau takut?Bukankah itu hanya patung kaku sahaja,jika dia bangun sekalipun sudah tentu itu adalah Warni,bukan orang lain," kata-kata yang dilontar oleh Daik separuh mengejek.

"BUkan Warni!BUkan!" balas Biduk pula separuh menjerit.Wajahnya kelihatan berkerut.

Daik menghampiri Biduk.Dia memegang bahu lelaki gempal itu.Perlakuan Daik seolah-olah mahu menenangkan kegelisahan rakannya itu.

"Katakan kepadaku,apa yang kau lihat?Jika bukan Warni,siapa?"

"Wajahnya,wajahnya bukan Warni,aku tidak kenal dia tetapi itu wajah orang lain!" Biduk mengeluh separuh ketakutan.

"Maksud kau,wajah patung itu berubah?"

"Ya Daik...," terketar-ketar Biduk menjawab.

"Kalau begitu mari kita lihat!" Daik menarik tangan Biduk.

"Jangan!Aku tidak mahu pergi!" Biduk mengeraskan tangannya.Dia benar-benar berkeras tidak mahu membuka balutan patung itu.Keseraman semakin merajai seluruh batang tubuhnya.

"Apa yang kau takutkan?Itu hanya patung kaku yang tidak mampu berbuat apa-apa sedikit pun terhadapmu.Tiadaku dengar orang mati dicekik patung!" Daik ketawa kecil .

"Adakah kerana wajah patung itu berubah menyebabkan kau ketakutan seperti perempuan begini?Hanya sebab itu sahaja?" Daik tersenyum mengejek.

"BUkan!Ada sesuatu yang lain," Biduk menjawab perlahan.Tangannya bingkas menarik sesuatu dari lipatan kain ikat di pinggangnya.Biduk menayangkannya di hadapan Daik.

Daik merenung benda itu penuh makna."Dimana kau menjumpainya?"

Biduk kembali merasa seram.Dia curi-curi menjeling ke arah balutan patung.

"Bibirnya"

"Bibir?" Daik merasa hairan."Panggil Ashkefaizi ke mari!"

Ashkefaizi muncul dari arah barat.Perlahan-lahan dia menghampiri Daik bersama Bidak di belakangnya.Ashkefaizi memandang benda yang berada di tangan Daik.

"Ashkefaizi,bolehkan engkau beritahu apakah dia benda ini,aku tahu ia adalah hirisan buah,tapi boleh kau terangkan lebih lanjut?"

Ashkefaizi memandang hirisan buah-buahan itu di tangan Daik.Dia tersengih kecil dan berkata,

"Inilah hirisan buah epal,Tuan Daik.Semoga anda ditunjukkan jalan oleh Tuhan,"

"Epal?"

Daik segera bergegas ke arah patung Sutramawarni yang dibalut dengan tikar mengkuang.Dia pun membuka balutan tikar itu.Biduk memekup wajahnya dan menyorok di belakang Ashkefaizi.Balutan tikar itu terbuka dan Daik merenung wajah Sutramawarni yang terkaku kelu seribu bahasa.

Daik merenung lama ke arah wajah patung.Dia mengusap-ngusap bibir patung itu."Bibir dan matanya" bisik Daik perlahan."Bukan yang dimiliki oleh Warni."

Mata patung misteri itu seakan-akan merenung ke dalam hati Daik.Daik mengalihkan pandangannya.

Daik berjalan ke arah Ashkefaizi dan Biduk seraya berkata,

"Kalau benar segala perkiraanku,aku tahu siapakah di sebalik wajah patung ini," sambil Daik merenung hirisan epal di tangannya.


x x x x x x x x x x x x x x x x x x x x x x x x x



Siapakah yang dimaksudkan oleh Daik?Wajah siapakah yang menjelma pada patung?

Berjayakah Daik menemui Puteri Epal?Bagaimana dengan Pintu 1000 tahun? Apakah sumpahan yang terpaksa dihadapi Daik kerana kesilapannya yang lalu?

Apakah rahsia yang diketahui oleh Ashkefaizi,si pedagang Arab?
Bagaimana dengan riwayat cinta Daik dan Warni?

Kepada Dr Rahmat Haroun Hashim,saya rindukan puisi-puisi sainsmu.

p/s :sampai sekarang saya simpan rapi Di.Ar.Ti dirak buku saya,teringat zaman meriah karya fiksyen seperti era Zailiani Taslim,Ghazali Ngah Azia atau Adi Alhadi ;))

Thursday, May 20, 2010

Epilog Novel Scareangel



Namaku Scareangel.Emmania Scareangel.Aku bertempat di Pulau Beruang-Beruang Bersedih.Aku adalah Raja Golga Tatar dari bangsa Norsemen dan Viking.Di lautan Rus,Morsk dan Fdord,aku adalah dewa laut yang digeruni.Malamku adalah bintang-bintang Kutub Utara.Tabir jendela rumahku adalah aurora yang mengasyikkan.Siangku adalah Lautan Abaraya.

Musuhku adalah para wanita.Mereka adalah racun yang paling menyakitkan.Cinta adalah ramuan paling berbisa untuk mengadun racun-racun mereka.Bersiaplah untuk menderita bertahun-tahun,jika sekali engkau menyentuh mereka.Sama ada cinta atau benci,kedua-duanya ada harga yang perlu dibayar tanpa boleh kau hutangi.Tanpa boleh kau tangguh atau tawar-menawar.Namun aku akan ajarkan penawarnya.Itulah kesabaran.Menghadapi mereka perlu sejuta kesabaran,kerana mereka adalah makhluk paling aneh pernah diciptakan Tuhan.


Aku adalah Emmania Scareangel of Houses of Lonelord.Aku punya sebuah istana di atas bukit yang kunamakan Mahligai Kesedihan Cinta.Puak-puak Norsemen dan pelaut-pelaut Viking memanggil tempat berehatku itu 'Mooncryer'.Setiap ketika tertentu,pasti mereka akan melihat aku duduk termenung jendela mahligai sambil merenung bulan mengambang.Mengenangkan segala kenangan lalu yang begitu pahit untuk ditelan.Namun Scareangel tidak boleh menangis lagi.Jika dia menangis lagi,air matanya akan memenuhi sungai Marmara dan akan menenggelamkan Kota Roseberry di Vaukasus.Emmania Izrabelle pun pasti ikut bersama menangis bersama pari-pari cinta,Marmon si Pengkabung pasti lemas bermandikan air mata.


Aku adalah warna-warni laut dan bayu-bayunya.Tanyalah kepada semua puak Norsemen dan Viking,siapakah Scareangel itu?Lautan adalah bidadarinya,angin adalah dayang-dayangnya.Namun Scareangel takutkan mimpi-mimpi.Mimpi-mimpi adalah kelemahan Scareangel.

Ada suara merintih meminta simpati setiap kali aku bermimpi.Suara gadis yang benar-benar membuatkan aku rimas dan mula menjauhi tidur.Namun lama kelamaan aku mula jatuh cinta kepada suara sang gadis dalam mimpi-mimpiku.Namun Scareangel tidak mudah jatuh cinta pada musuhnya.Terutamanya si gadis mimpiku itu.Namun anehnya,semakin aku membenci dia,semakin aku terasa sayang.Dan aku mula mencari.Siang dan malam.Mencari dan mencari.Panas dan hujan.Mencari dan mencari...wajah gadis dalam mimpiku:Sutramawarni.


Di atas ini adalah epilog novel terbaru saya.Balik saja dari Bangi tempoh hari,terus mengadap laptop menaipkan hikayat novel saya itu.Siang dan malam.Malam-malam letih menaip,saya akan mengurut badan mak saya yang sudah tua.Kadang-kadang kehabisan idea,terus saya selak karya-karya lama saya semasa saya sekolah rendah yang bertaip dengan mesin taip yang dibeli ayah saya sebagai hadiah kepada kakak saya dalam UPSR 1993.Tetapi mesin taip itu jarang digunakan oleh kakak saya,sebaliknya hancur ditangan saya. :)




Wednesday, May 5, 2010

Encik Jerry


Sinopsis:Di tulis akhir 2003,cerpen ini mengisahkan Hassan, seorang anak kecil yang secara tidak sengaja terserempak dengan seorang askar Amerika yang kesepian...



Encik Jerry

Oleh Zunnun Zulkarnain



Hassan berlari-lari kecil menuju sebuah runtuhan bangunan. Seorang pemuda yang tercegat di bahu jalan memerhatikan sahaja budak itu, sambil mengutip beberapa helai duit kertas yang bertaburan di permukaan jalan. Hassan menyeka peluh yang berjujuran di dahinya. Dia pasti bukunya berada di situ. Hassan memperlahankan lariannya. Dia sudah tiba di destinasinya.

Matanya melilau mencari. Seluruh puing-puing itu diterokanya. Hassan mula merasa bosan. Pencarian seperti itu selalu membuat dirinya bosan. Tetapi dia tidak boleh meninggalkan tempat itu tanpa membawa buku yang dicarinya. Buku itu pemberian bapa saudaranya, yang kini entah dimana, sejak ramai pelancong datang ke tempat tinggalnya.

Pada suatu ketika, satu intuisi yang aneh, membuatkan dia berpaling ke belakang. Seolah-olah memberitahunya, Hassan menuju ke arah sebuah jendela yang melopong tanpa cermin. Ya, di sini rupanya kau, detik hati kecilnya. “Sejarah Eropah, di tulis oleh Dr. Ahmad Faruq,” Hassan membaca tulisan di kulit bukunya dengan agak kuat, sambil tersenyum puas. Dia membelek-belek bukunya sebentar. Buku itu merupakan kesayangannya, kerana di dalamnya itu terdapat gambar-gambar yang menarik perhatiannya. Di samping sebagai pengganti bapa saudaranya yang dicintai.

Hassan merayau-rayau di sepanjang jalan itu. Kelihatan beberapa orang pemuda memegang senjata api, berkeliaran di tepi rumah-rumah kedai. Di tepi sebuah bengkel kereta yang tidak digunakan lagi, seorang lelaki tua kelihatan membawa roti-roti leper di atas troli. Melihatkan itu, tiba-tiba Hassan berasa lapar. Dia menekan-nekan perutnya. Dahulu, kakaknya suka memasak roti leper itu dengan menambahkan sosej yang dipotong-potong kecil di atasnya. Ibunya pula lebih suka menghidangkan roti itu dengan salad bersama buah zaitun. Selalu juga dirinya dimarahi kerana menghabiskan daging di atas roti leper itu. Mengingatkan itu, dia tersenyum sendirian. Ketika matanya melirik ke arah roti-roti leper itu, si lelaki tua sudah lenyap di telan sebuah simpang tidak berapa jauh di hadapannya. Hassan berasa letih. Lantas dia duduk di atas sebuah tembok di tepi sebuah pasar. Memerhatikan gelagat manusia dapat juga menghilangkan kebosanan. Dari situ, kadangkala dapat dipelajari sifat-sifat manusia, dari gaya dan kelakuan mereka. Hassan menoleh ke kanan, seolah-olah mendengar sesuatu. Di kejauhan sana, kelihatan pula sebuah jip tentera meluncur sederhana laju, sarat dengan anggota tentera berkulit putih, ‘pelancong’ yang baru-baru ini ghairah melawat tempatnya.

Ketika jip itu lalu di hadapannya, Hasan merenung sahaja. Dia memerhatikan tentera tersebut memegang senjata api dengan kemas. Seorang anggota tentera di atas jip itu memandangnya. Hassan melemparkan sebuah senyuman. Anggota tentera itu mengangguk sahaja. Jip tersebut meninggalkan Hassan dan pasar itu, lantas menghadiahkan debu-debu halus. Hassan mula berfikir-fikir tentang ‘pelancong-pelancong’ tadi. Mengapa mereka di sini. Di tempat tinggalnya ini. Mengapa mereka memakai pakaian askar. Seperti hendak berperang. Perang?Kalau berperang mungkin juga. Sebab, dalam dua tiga bulan ini sekitar kawasannya memang bingit dengan bunyi dentum-dentam. Waktu malam pula, dia sering kali ternampak cahaya-cahaya seakan-akan bunga api di pesta-pesta besar. Agaknya ‘pelancong-pelancong’ tadi mahu berpesta-pestaan di tempatnya sambil menikmati keagungan buminya; minyak dan sejarah lampaunya. Gurunya pernah memberitahu, negaranya memang kaya dengan minyak. Jadi, kita patut berbangga, kata gurunya lagi. Tetapi mengapa kita mesti bangga dengan hasil bumi itu? Gurunya menambah, dengannya kita dapat sumber kewangan untuk membiayai negara. Lagipun kereta, lori dan lain-lain kenderaan memerlukan minyak sebagai bahan api. Mengenangkan kata-kata gurunya itu, Hassan mengerut-ngerutkan wajahnya. Mungkin tentera-tentera tadi memerlukan minyak di tempatku ini untuk menjalankan jip mereka. Mungkin juga, getus hatinya. Hassan berdiri. Dia mahu berjalan-jalan lagi. Sambil menyusuri kedai dan bangunan, Hassan memerhatikan sekelilingnya. Kita juga harus berbangga, terngiang-ngiang lagi kata-kata gurunya itu di telinga Hassan. Wajah gurunya berkata-kata ketika itu, penuh semangat. Hassan masih ingat lagi. Kita harus berbangga kerana negara kita mempunyai sejarah yang agung. Di sinilah bermulanya antara tamadun terawal di dunia. Di sinilah Taman Tergantung yang terkenal itu dibina. Sebelum masyarakat barat mengenal erti tamadun, kita sudah mencipta roda! Hassan tersenyum-senyum mengingatkan itu semua. Jadi, negara aku memang hebat, detik hati kecilnya lagi.

Hassan berjalan dan terus berjalan. Tetapi mengapa sejak ‘pelancong-pelancong’ itu datang, suasana sekeliling tidak seperti dulu. Setiap orang menjadi cemas. Ibunya cemas. Kakaknya cemas. Jiran-jirannya cemas. Bukan setakat itu, banyak rumah runtuh dan bangunan musnah. Asap pula merayau-rayau merata-rata. Hassan tidak sukakan asap. Matanya pedih dan kerap terbatuk-batuk bila menghidu asap. Hassan memandang ke arah sebuah tugu yang runtuh. Ini tugu pemimpin negaraku, mengapa jadi begini, Hassan merenung sayu ke arah patung yang tidak mempunyai kepala itu. Hassan berjalan mengelilingi tugu itu sambil menyepak-nyepak batu-batu yang berselerakan. Di belakang tugu itu dia terlihat seorang lelaki berpakaian askar, sama seperti orang-orang yang dilihatnya dalam jip tadi. Lelaki itu duduk di bawah tugu itu sambil menghisap sebatang rokok. Senapangnya tersandar di dinding tugu. Hassan berjalan mendekatinya. Lelaki itu menyedari kehadiran Hassan, lalu menoleh. Hassan tersenyum ke arah lelaki berkulit putih tersebut. Lama juga lelaki itu memandang Hassan, sebelum membalas senyumannya. Lelaki itu kembali menghisap rokok. Berkepul-kepul-kepul dia menghembus asap rokok itu. Hassan hanya memerhatikan kelakuan lelaki itu.

“Apa namamu?” Hassan sedikit tersentak. Dia tidak menyangka lelaki itu mahu menyapanya.

“Hassan”.

“Hmmm.....,” Askar itu terus menghisap rokok tanpa memandang ke arah Hassan. Hassan duduk berdekatan dengan senapang askar itu, menjauhi asap rokok yang berkepul-kepul.

“Errr....nama encik?” Hassan bertanya sambil melihat-lihat senapang askar itu. Senapang itu berwarna hitam. Ingin sekali dia memegang senapang itu sambil beraksi dengannya.

“Panggil saja Jerry,” Askar itu menjawab sambil tersenyum.

“Encik Jerry, boleh saya pegang senapang encik?” Hassan memandang ke arah senjata api di dinding tugu.Askar itu hanya mengangguk perlahan-lahan. Matanya melirik-lirik juga ke arah Hassan yang sedang membelek-belek senjata apinya. Sebuah submesingan, MP5-Navy. Hassan mula menggaya-gayakan submesingan itu.Terkial-kial Hassan mengacu-ngacukan senjata itu. Budak yang berani, detik hati kecil askar itu. “Kamu sukakannya?” Askar yang bernama Jerry itu bertanya.

“Ya, saya suka main perang-perang dengan kawan-kawan saya,” ujar Hassan pantas. Askar itu mengeluarkan sesuatu dari dalam poket seluarnya.

“Ambil ini,” Jerry menyerahkan sepucuk Desert Eagle kepada Hassan. Hassan mengambilnya dengan senang hati. Hassan memegang kemas pistol tersebut sambil merenungnya. Lama juga dia merenung pistol itu. Alangkah baiknya kalau aku dapat memilikinya, Hassan bersuara di dalam hatinya. Boleh aku tunjukkan pada Salim dan Aina.

“Ambillah, pistol ni tidak digunakan lagi,” Jerry berkata, seolah-olah tahu apa yang terlintas di hati Hassan. Hassan tersenyum sambil mula mengacu-ngacu pistol yang tidak berpeluru itu.

Sejak hari itu, Hassan selalu ke runtuhan tugu itu, berbual-bual dengan lelaki yang dipanggilnya Encik Jerry itu. Baginya, Encik Jerry berlainan dengan ‘pelancong-pelancong’ lain yang ditemuinya. Encik Jerry sungguh baik padanya. Kadang-kadang Encik Jerry memberinya wang. Dapatlah dia membeli roti leper kegemarannya. Tetapi yang dihairankannya mengapa Encik Jerry selalu duduk-duduk di bawah tugu hodoh itu. Mengapa dia tidak berkawal seperti askar-askar lain, yang selalu dilihatnya mundar-mandir di jalan-jalan. Atau, bersiar-siar dengan jip yang memerlukan minyak negaranya untuk bergerak. Hassan mengingat-ngingat percakapan Encik Jerry kepadanya beberapa hari lepas.

“Tempat tinggalku jauh, kamu kena naik kapal terbang untuk sampai ke tempatku”.

“Mengapa Encik Jerry datang dari jauh, ke tempat saya?”

“Ingin melawat orang-orang di sini, menjaga mereka, seperti kamu,” Ketika Encik Jerry habis berkata, dia tersenyum penuh makna. Hassan masih ingat lagi wajah Encik Jerry ketika itu. Encik Jerry memberitahunya, dia telah banyak pergi melancong di banyak tempat. Semuanya untuk melawat dan menjaga orang-orang di tempat-tempat itu.

“Kalau begitu, saya juga ingin jadi seperti Encik Jerry, melawat dan menjaga orang ramai,” beritahu Hassan bersemangat. Jerry tersenyum sahaja melihat gelagat Hassan.

“Aku ada sesuatu untukmu,” Jerry mengambil sesuatu di dalam beg sandangnya. Sebotol air minuman yang begitu menggiurkan pandangan Hassan dikeluarkannya.

“Ambillah, kamu tentu dahaga,” Jerry meletakkan botol minuman itu dekat di hadapan Hassan. Hassan dengan senang hati mengambil botol ramping itu.

“Mengapa Encik Jerry selalu ke tempat ni, dan tak melawat jiran-jiran saya seperti rakan-rakan Encik Jerry yang lain?” soal Hassan sambil meneguk minuman yang warnanya agak kegelapan itu. Namun Encik Jerrynya itu tak menjawab terus. Dia hanya tersenyum. Senyuman yang aneh dan begitu meresahkan.

Hassan termenung. Encik Jerry kadangkala bersikap aneh. Tetapi Hassan seronok berkawan dengan Encik Jerry. Encik Jerry baik, Encik Jerry beri dia wang. Encik Jerry beri dia minum air botol ramping. Encik Jerry beri dia coklat dan gula-gula. Hassan menimang-nimang Desert Eagle pemberian Encik Jerry. Dia mengacukan pistol itu ke udara. Kemudian ke hadapan, kiri dan kanan. Berkali-kali dia beraksi begitu. Lama-kelamaan dia berasa letih. Hassan termenung lagi. Fikirannya mencari-cari. Encik Jerry lagi. Tidak habis-habis dia memikirkan Encik Jerry. Jerry, Jerry, Jerry. Macam nama kartun Jerry. Tom and Jerry. Hassan tersenyum sendirian. Kemudian ketawa berdekah-dekah. Kemudian dia terdiam. Semalam Encik Jerry membawa selaras raifal yang mempunyai teropong di atasnya.

“Ini adalah Steyr Scout , kamu boleh lihat musuhmu dari teropong ini,” beritahu Jerry. Hassan memegang raifal itu dengan hati-hati. Jerry memegang tangan Hassan dan membantunya memegang dengan betul.

“Siapa yang ingin kamu tembak?”

“Pembunuh ayah saya,” sahut Hassan.

Hari ni Encik Jerry mengajaknya ke tempat baru. Bukan di tugu tidak berkepala itu lagi. Tetapi di runtuhan sebuah bangunan. Kata Encik Jerry dia memerlukan bantuannya. Hassan bangun. Perlahan-lahan dia ke tempat baru itu. Ketika dia sampai, Encik Jerrynya itu sedang berdiri di atas sebuah kerusi. Di belakangnya ada tingkap yang melopong tanpa cermin. Encik Jerry berdiri tenang. Kedua tangannya digerakkan ke belakang tubuh. Ada tali di atas kepala Encik Jerry. Hassan mendongak.

“Hassan, tolong tendang kerusi itu, dan jangan mendongak,” lembut Encik Jerry berkata-kata, walaupun sedikit gementar. Hassan masih terpaku. Kepalanya masih mendongak. Hassan teringat kata-kata Encik Jerry dua hari lepas.

“Ayahku terbunuh dalam perang Vietnam, ibuku mati ditembak oleh penembak curi di Sacramento.”

“Satu-satunya sahabat baikku, terbunuh dalam serangan pengebom berani mati, di sini, seminggu yang lepas.”

Hassan masih mendongak. Dia merenung Jerry. Tepat. Tiba-tiba matanya berair. Mula-mula sedikit. Lama-lama semakin deras.

“Encik Jerry, ayahku terbunuh ketika Perang Teluk, ibuku mati ketika rumah kami terkena bom, kakak dan abangku.......mereka adalah pengebom berani mati.”

Encik Jerry masih berdiri di atas kerusi. Dia merenung Hassan. Hassan masih mendongak.

Mereka yang membunuh diri itu adalah orang-orang yang kecewa. Mereka pada mulanya rasional tetapi telah tertekan dengan situasi sekeliling. Sama ada hak mereka dirampas dengan zalim, ataupun kehilangan orang-orang yang mereka kasihi. Mereka yang dicintai.

Hassan menendang kerusi itu. Jerry hanya merenung kerusi itu terdampar di bawah tingkap tidak bercermin. Hassan tidak mendongak lagi.

Monday, September 1, 2008

SATU




Buddha tidak pernah
memberitahu
siapakah Tuhan itu
namun akhirnya
dia 'menjadi' Tuhan
Isa mengajarkan Tuhan itu
satu
namun akhirnya
Tuhan itu
tiga dalam satu
para rishi mengenal
Brahma itu tiada duanya
namun kemudian
mereka mahukan lagi
lagi...lagi
dan lagi Tuhan


sehingga Muhammad
mengetahui rahsia
bahawa Tuhan itu
tidak beranak
mahupun diperanak
Yang Awal dan Yang Akhir


hanya satu





zz




SEPI ITU SKIZOFRENIA







SEPI ITU SKIZOFRENIA
----------------------------



Sepi itu ruang trauma
Di dalamnya tembok amnesia
sebuah kerusi
dan tali gantung
kita boleh saja menggantung
diri di dalamnya
atau memanjat tali
untuk mencapai
trauma yang lain

Sepi itu skizofrenia
warna-warninya internalphobia
di luarnya adalah laman mimpi
lanskap cinta dan kolam hati
perasaan seringkali berbohong
seringkali mengecewakan
tentang

betapa indahnya sepi
indahnya sepi

sesepi skizofrenia

sepi itu skizofrenia











zz

Logaritma Hatimu



Hatimu serahsia kuantum
di dalamnya berdiam dogma rindumu
cintamu sedingin cahaya
di dalam lohong hitam;
senyum tawarmu bergenang
di atas lingkaran Zuhal;
aku tidak mengerti
mengapa Copernicus
tidak membilang
kasihmu sedatar
kekecewaanku


Malam ini sayang...
Proxima Centauri tiada seri
Siriusmu di sebalik Nebula Ketam
Jangan katakan langit itu
sekelam sinar matamu
kerana kasihku ibarat
sinar kosmik
membelah
partikel egomu
gadis pingitan yang tidak mengerti
pengorbanan seorang lelaki

kepayahannya dan air matanya
disembunyikan
di dalam quark dan bozon


Pejamkan matamu

sayang...
akan ku gapai Andromeda
akan ku titipkan manisnya
bibirmu semerah Nebula Mawar
biar senyum manjamu
menyinari seluruh lohong hitam
biar ruangmasa
bercaing-caing
dihambat graviti cintamu

senyumlah srikandiku

lelaki miskin ini
akan tetap mencari
graviton-graviton kehidupan
buatmu
demi masa depan
akan ku tampal lubang-lubang ozon itu
dengan ketabahanku
dan akan ku bawa di hadapanmu
jawapan kalkulus

logaritma hidupku
logaritma hatimu



zz






Friday, October 19, 2007

Ku lihat Orion yang Indah






Fatamorgana menjadikan alam berkaca-kaca

dan angin dari lembah Nil yang agung

aku titipkan rindu Isis dan Osiris

pada halaman hijau yang terbentang

pada malam

dan bintang pagi



Ku lihat Orion yang indah

pada tiga piramid emas

menjajar pada arah kiblat

setiap satu pada ketepatan

yang tinggi

granit-granit dari Aswan

Titik berat dan pusat graviti

Para petani bekerja riang

mengapung dan menolak

dari puncak ke puncak

pada magnitud -5.9

mengawan pada 146.9 meter



Ku lihat Orion yang indah

di bawahnya adalah keajaiban

alnitak, alnilam dan mintaka

taman-taman diraja

Isis yang gemar tersenyum

untuk Nil yang melimpah airnya

untuk bumi yang hijau warnanya



marilah sayang

malam kan tiba

dan bintang orion

Osiris yang pemurah

dari titik pusingan 15 darjah

arah lawan jam

piramid-piramid emas memancar

di langit terbit bintang pagi

rahsia masa dan dimensi

mereka terawang-awang di angkasa

melawan magnetik dan orbital

setiap satu

menuju ke timur laut



Ku mengucap

Maha suci Tuhan

pada simetri orion itu

ku lihat

senyuman Musa






zz 23 nov 06 genset competency