Wednesday, May 5, 2010

Encik Jerry


Sinopsis:Di tulis akhir 2003,cerpen ini mengisahkan Hassan, seorang anak kecil yang secara tidak sengaja terserempak dengan seorang askar Amerika yang kesepian...



Encik Jerry

Oleh Zunnun Zulkarnain



Hassan berlari-lari kecil menuju sebuah runtuhan bangunan. Seorang pemuda yang tercegat di bahu jalan memerhatikan sahaja budak itu, sambil mengutip beberapa helai duit kertas yang bertaburan di permukaan jalan. Hassan menyeka peluh yang berjujuran di dahinya. Dia pasti bukunya berada di situ. Hassan memperlahankan lariannya. Dia sudah tiba di destinasinya.

Matanya melilau mencari. Seluruh puing-puing itu diterokanya. Hassan mula merasa bosan. Pencarian seperti itu selalu membuat dirinya bosan. Tetapi dia tidak boleh meninggalkan tempat itu tanpa membawa buku yang dicarinya. Buku itu pemberian bapa saudaranya, yang kini entah dimana, sejak ramai pelancong datang ke tempat tinggalnya.

Pada suatu ketika, satu intuisi yang aneh, membuatkan dia berpaling ke belakang. Seolah-olah memberitahunya, Hassan menuju ke arah sebuah jendela yang melopong tanpa cermin. Ya, di sini rupanya kau, detik hati kecilnya. “Sejarah Eropah, di tulis oleh Dr. Ahmad Faruq,” Hassan membaca tulisan di kulit bukunya dengan agak kuat, sambil tersenyum puas. Dia membelek-belek bukunya sebentar. Buku itu merupakan kesayangannya, kerana di dalamnya itu terdapat gambar-gambar yang menarik perhatiannya. Di samping sebagai pengganti bapa saudaranya yang dicintai.

Hassan merayau-rayau di sepanjang jalan itu. Kelihatan beberapa orang pemuda memegang senjata api, berkeliaran di tepi rumah-rumah kedai. Di tepi sebuah bengkel kereta yang tidak digunakan lagi, seorang lelaki tua kelihatan membawa roti-roti leper di atas troli. Melihatkan itu, tiba-tiba Hassan berasa lapar. Dia menekan-nekan perutnya. Dahulu, kakaknya suka memasak roti leper itu dengan menambahkan sosej yang dipotong-potong kecil di atasnya. Ibunya pula lebih suka menghidangkan roti itu dengan salad bersama buah zaitun. Selalu juga dirinya dimarahi kerana menghabiskan daging di atas roti leper itu. Mengingatkan itu, dia tersenyum sendirian. Ketika matanya melirik ke arah roti-roti leper itu, si lelaki tua sudah lenyap di telan sebuah simpang tidak berapa jauh di hadapannya. Hassan berasa letih. Lantas dia duduk di atas sebuah tembok di tepi sebuah pasar. Memerhatikan gelagat manusia dapat juga menghilangkan kebosanan. Dari situ, kadangkala dapat dipelajari sifat-sifat manusia, dari gaya dan kelakuan mereka. Hassan menoleh ke kanan, seolah-olah mendengar sesuatu. Di kejauhan sana, kelihatan pula sebuah jip tentera meluncur sederhana laju, sarat dengan anggota tentera berkulit putih, ‘pelancong’ yang baru-baru ini ghairah melawat tempatnya.

Ketika jip itu lalu di hadapannya, Hasan merenung sahaja. Dia memerhatikan tentera tersebut memegang senjata api dengan kemas. Seorang anggota tentera di atas jip itu memandangnya. Hassan melemparkan sebuah senyuman. Anggota tentera itu mengangguk sahaja. Jip tersebut meninggalkan Hassan dan pasar itu, lantas menghadiahkan debu-debu halus. Hassan mula berfikir-fikir tentang ‘pelancong-pelancong’ tadi. Mengapa mereka di sini. Di tempat tinggalnya ini. Mengapa mereka memakai pakaian askar. Seperti hendak berperang. Perang?Kalau berperang mungkin juga. Sebab, dalam dua tiga bulan ini sekitar kawasannya memang bingit dengan bunyi dentum-dentam. Waktu malam pula, dia sering kali ternampak cahaya-cahaya seakan-akan bunga api di pesta-pesta besar. Agaknya ‘pelancong-pelancong’ tadi mahu berpesta-pestaan di tempatnya sambil menikmati keagungan buminya; minyak dan sejarah lampaunya. Gurunya pernah memberitahu, negaranya memang kaya dengan minyak. Jadi, kita patut berbangga, kata gurunya lagi. Tetapi mengapa kita mesti bangga dengan hasil bumi itu? Gurunya menambah, dengannya kita dapat sumber kewangan untuk membiayai negara. Lagipun kereta, lori dan lain-lain kenderaan memerlukan minyak sebagai bahan api. Mengenangkan kata-kata gurunya itu, Hassan mengerut-ngerutkan wajahnya. Mungkin tentera-tentera tadi memerlukan minyak di tempatku ini untuk menjalankan jip mereka. Mungkin juga, getus hatinya. Hassan berdiri. Dia mahu berjalan-jalan lagi. Sambil menyusuri kedai dan bangunan, Hassan memerhatikan sekelilingnya. Kita juga harus berbangga, terngiang-ngiang lagi kata-kata gurunya itu di telinga Hassan. Wajah gurunya berkata-kata ketika itu, penuh semangat. Hassan masih ingat lagi. Kita harus berbangga kerana negara kita mempunyai sejarah yang agung. Di sinilah bermulanya antara tamadun terawal di dunia. Di sinilah Taman Tergantung yang terkenal itu dibina. Sebelum masyarakat barat mengenal erti tamadun, kita sudah mencipta roda! Hassan tersenyum-senyum mengingatkan itu semua. Jadi, negara aku memang hebat, detik hati kecilnya lagi.

Hassan berjalan dan terus berjalan. Tetapi mengapa sejak ‘pelancong-pelancong’ itu datang, suasana sekeliling tidak seperti dulu. Setiap orang menjadi cemas. Ibunya cemas. Kakaknya cemas. Jiran-jirannya cemas. Bukan setakat itu, banyak rumah runtuh dan bangunan musnah. Asap pula merayau-rayau merata-rata. Hassan tidak sukakan asap. Matanya pedih dan kerap terbatuk-batuk bila menghidu asap. Hassan memandang ke arah sebuah tugu yang runtuh. Ini tugu pemimpin negaraku, mengapa jadi begini, Hassan merenung sayu ke arah patung yang tidak mempunyai kepala itu. Hassan berjalan mengelilingi tugu itu sambil menyepak-nyepak batu-batu yang berselerakan. Di belakang tugu itu dia terlihat seorang lelaki berpakaian askar, sama seperti orang-orang yang dilihatnya dalam jip tadi. Lelaki itu duduk di bawah tugu itu sambil menghisap sebatang rokok. Senapangnya tersandar di dinding tugu. Hassan berjalan mendekatinya. Lelaki itu menyedari kehadiran Hassan, lalu menoleh. Hassan tersenyum ke arah lelaki berkulit putih tersebut. Lama juga lelaki itu memandang Hassan, sebelum membalas senyumannya. Lelaki itu kembali menghisap rokok. Berkepul-kepul-kepul dia menghembus asap rokok itu. Hassan hanya memerhatikan kelakuan lelaki itu.

“Apa namamu?” Hassan sedikit tersentak. Dia tidak menyangka lelaki itu mahu menyapanya.

“Hassan”.

“Hmmm.....,” Askar itu terus menghisap rokok tanpa memandang ke arah Hassan. Hassan duduk berdekatan dengan senapang askar itu, menjauhi asap rokok yang berkepul-kepul.

“Errr....nama encik?” Hassan bertanya sambil melihat-lihat senapang askar itu. Senapang itu berwarna hitam. Ingin sekali dia memegang senapang itu sambil beraksi dengannya.

“Panggil saja Jerry,” Askar itu menjawab sambil tersenyum.

“Encik Jerry, boleh saya pegang senapang encik?” Hassan memandang ke arah senjata api di dinding tugu.Askar itu hanya mengangguk perlahan-lahan. Matanya melirik-lirik juga ke arah Hassan yang sedang membelek-belek senjata apinya. Sebuah submesingan, MP5-Navy. Hassan mula menggaya-gayakan submesingan itu.Terkial-kial Hassan mengacu-ngacukan senjata itu. Budak yang berani, detik hati kecil askar itu. “Kamu sukakannya?” Askar yang bernama Jerry itu bertanya.

“Ya, saya suka main perang-perang dengan kawan-kawan saya,” ujar Hassan pantas. Askar itu mengeluarkan sesuatu dari dalam poket seluarnya.

“Ambil ini,” Jerry menyerahkan sepucuk Desert Eagle kepada Hassan. Hassan mengambilnya dengan senang hati. Hassan memegang kemas pistol tersebut sambil merenungnya. Lama juga dia merenung pistol itu. Alangkah baiknya kalau aku dapat memilikinya, Hassan bersuara di dalam hatinya. Boleh aku tunjukkan pada Salim dan Aina.

“Ambillah, pistol ni tidak digunakan lagi,” Jerry berkata, seolah-olah tahu apa yang terlintas di hati Hassan. Hassan tersenyum sambil mula mengacu-ngacu pistol yang tidak berpeluru itu.

Sejak hari itu, Hassan selalu ke runtuhan tugu itu, berbual-bual dengan lelaki yang dipanggilnya Encik Jerry itu. Baginya, Encik Jerry berlainan dengan ‘pelancong-pelancong’ lain yang ditemuinya. Encik Jerry sungguh baik padanya. Kadang-kadang Encik Jerry memberinya wang. Dapatlah dia membeli roti leper kegemarannya. Tetapi yang dihairankannya mengapa Encik Jerry selalu duduk-duduk di bawah tugu hodoh itu. Mengapa dia tidak berkawal seperti askar-askar lain, yang selalu dilihatnya mundar-mandir di jalan-jalan. Atau, bersiar-siar dengan jip yang memerlukan minyak negaranya untuk bergerak. Hassan mengingat-ngingat percakapan Encik Jerry kepadanya beberapa hari lepas.

“Tempat tinggalku jauh, kamu kena naik kapal terbang untuk sampai ke tempatku”.

“Mengapa Encik Jerry datang dari jauh, ke tempat saya?”

“Ingin melawat orang-orang di sini, menjaga mereka, seperti kamu,” Ketika Encik Jerry habis berkata, dia tersenyum penuh makna. Hassan masih ingat lagi wajah Encik Jerry ketika itu. Encik Jerry memberitahunya, dia telah banyak pergi melancong di banyak tempat. Semuanya untuk melawat dan menjaga orang-orang di tempat-tempat itu.

“Kalau begitu, saya juga ingin jadi seperti Encik Jerry, melawat dan menjaga orang ramai,” beritahu Hassan bersemangat. Jerry tersenyum sahaja melihat gelagat Hassan.

“Aku ada sesuatu untukmu,” Jerry mengambil sesuatu di dalam beg sandangnya. Sebotol air minuman yang begitu menggiurkan pandangan Hassan dikeluarkannya.

“Ambillah, kamu tentu dahaga,” Jerry meletakkan botol minuman itu dekat di hadapan Hassan. Hassan dengan senang hati mengambil botol ramping itu.

“Mengapa Encik Jerry selalu ke tempat ni, dan tak melawat jiran-jiran saya seperti rakan-rakan Encik Jerry yang lain?” soal Hassan sambil meneguk minuman yang warnanya agak kegelapan itu. Namun Encik Jerrynya itu tak menjawab terus. Dia hanya tersenyum. Senyuman yang aneh dan begitu meresahkan.

Hassan termenung. Encik Jerry kadangkala bersikap aneh. Tetapi Hassan seronok berkawan dengan Encik Jerry. Encik Jerry baik, Encik Jerry beri dia wang. Encik Jerry beri dia minum air botol ramping. Encik Jerry beri dia coklat dan gula-gula. Hassan menimang-nimang Desert Eagle pemberian Encik Jerry. Dia mengacukan pistol itu ke udara. Kemudian ke hadapan, kiri dan kanan. Berkali-kali dia beraksi begitu. Lama-kelamaan dia berasa letih. Hassan termenung lagi. Fikirannya mencari-cari. Encik Jerry lagi. Tidak habis-habis dia memikirkan Encik Jerry. Jerry, Jerry, Jerry. Macam nama kartun Jerry. Tom and Jerry. Hassan tersenyum sendirian. Kemudian ketawa berdekah-dekah. Kemudian dia terdiam. Semalam Encik Jerry membawa selaras raifal yang mempunyai teropong di atasnya.

“Ini adalah Steyr Scout , kamu boleh lihat musuhmu dari teropong ini,” beritahu Jerry. Hassan memegang raifal itu dengan hati-hati. Jerry memegang tangan Hassan dan membantunya memegang dengan betul.

“Siapa yang ingin kamu tembak?”

“Pembunuh ayah saya,” sahut Hassan.

Hari ni Encik Jerry mengajaknya ke tempat baru. Bukan di tugu tidak berkepala itu lagi. Tetapi di runtuhan sebuah bangunan. Kata Encik Jerry dia memerlukan bantuannya. Hassan bangun. Perlahan-lahan dia ke tempat baru itu. Ketika dia sampai, Encik Jerrynya itu sedang berdiri di atas sebuah kerusi. Di belakangnya ada tingkap yang melopong tanpa cermin. Encik Jerry berdiri tenang. Kedua tangannya digerakkan ke belakang tubuh. Ada tali di atas kepala Encik Jerry. Hassan mendongak.

“Hassan, tolong tendang kerusi itu, dan jangan mendongak,” lembut Encik Jerry berkata-kata, walaupun sedikit gementar. Hassan masih terpaku. Kepalanya masih mendongak. Hassan teringat kata-kata Encik Jerry dua hari lepas.

“Ayahku terbunuh dalam perang Vietnam, ibuku mati ditembak oleh penembak curi di Sacramento.”

“Satu-satunya sahabat baikku, terbunuh dalam serangan pengebom berani mati, di sini, seminggu yang lepas.”

Hassan masih mendongak. Dia merenung Jerry. Tepat. Tiba-tiba matanya berair. Mula-mula sedikit. Lama-lama semakin deras.

“Encik Jerry, ayahku terbunuh ketika Perang Teluk, ibuku mati ketika rumah kami terkena bom, kakak dan abangku.......mereka adalah pengebom berani mati.”

Encik Jerry masih berdiri di atas kerusi. Dia merenung Hassan. Hassan masih mendongak.

Mereka yang membunuh diri itu adalah orang-orang yang kecewa. Mereka pada mulanya rasional tetapi telah tertekan dengan situasi sekeliling. Sama ada hak mereka dirampas dengan zalim, ataupun kehilangan orang-orang yang mereka kasihi. Mereka yang dicintai.

Hassan menendang kerusi itu. Jerry hanya merenung kerusi itu terdampar di bawah tingkap tidak bercermin. Hassan tidak mendongak lagi.

2 comments:

Tarbus Merah said...

Bagus!!!

ZZ said...

Terima kasih daun keladi : )

Ada jugak orang komen hehehe.'Bila Cinta Bertakbir' tu nak dijadikan novel ke?Dah keluar ke belum?